Entry menarik daripada blog Pn Ainon : Universiti Terbuka PTS (http://universitipts.com/index.php/P180/)

Boleh dijadikan panduan bagi yang bercita2 menjadi penulis (insyaAllah....)

Surat: buku ulat buku
Asalamualaikum, Puan Ainon yang dihormati dan dikasihi. Semoga puan sekeluarga dalam keadaan sihat dan tenang fikiran. Semoga anak-anak yatim dan kucing-kucing puan juga sihat belaka dan mudah diuruskan.
Saya mahu bercerita dan kemudian memberi cadangan produk baru kepada PTS.
Ceritanya:
Pejabat saya bersebelahan dengan kompleks beli-belah Summit USJ.  Selepas waktu pejabat, selalunya saya ke kedai buku MPH di tingkat LG sambil menunggu suami datang menjemput. Kedai buku Popular berada di tingkat 2 dan jauh daripada eskalator, jadi saya jarang naik ke situ kecuali apabila mahu membeli buku ataupun alat tulis. Kad Popular membolehkan saya menikmati diskaun 10% bagi semua buku. Pendek kata sebagai pembeli buku, antara tabiat saya adalah belek di MPH, beli di Popular.
Baru-baru ini saya singgah di MPH seperti biasa dengan niat membelek buku-buku berkaitan adab. Rata-rata buku bertopik adab berharga antara RM20 sehingga RM30. Ketika itu sudah hampir 1 Syawal, jadi saya tidak bercadang membeli buku. Kemudian saya menjumpai buku terbitan PTS bertajuk Amalan 24 Jam Dalam Kehidupan Rasulullah S.A.W karya Zulkarnain Dollah.
Iklannya pernah saya lihat di portal PTS. Rupa-rupanya saiz buku ini lebih kecil daripada separuh saiz A4 serta nipis pula. Namun isinya padat dan mudah dibaca. Saya tutup buku itu dan lihat pula label harga di kulit belakang - RM4.00 sahaja!
Seperti robot, buku itu saya bawa ke kaunter lalu membayar harganya.
Malam itu di rumah, saya berfikir mengapa saya seolah-olah dipukau ketika membeli buku itu tanpa berfikir panjang. Mungkin kerana isinya baik disokong pula dengan harga yang rendah. Saya juga tidak teringat langsung supaya mencari dan membelinya di kedai Popular terlebih dahulu bagi mengambil diskaun. 40 sen pun duit juga.
Selepas sesi bengkel buku cerita pari-pari puan baru-baru ini, saya dan Puan Zalisa Maz ke kedai buku Book Network di bangunan Giant Taman Permata. Tujuan saya mahu meninjau buku-buku ilmiah agama bukan terbitan PTS yang berguna sebagai rujukan. Dalam kedai, kami bergerak dari satu rak ke satu rak sehingga sampai ke satu meja yang mempamerkan buku-buku secara berbaring. Di situ mata saya menangkap sebuah buku PTS yang berkulit cantik berjudul Menjadi Muslim Terbaik tulisan Aa Gym. Melihat saiznya yang kecil, saya teringat kepada nasihat puan supaya memadankan saiz buku dengan tinggi rak. Dalam hati saya berkata, "Nasib baik buku ini dipamerkan sebegitu, jika disusun bersama buku-buku lain pada rak biasa, pasti ia mudah tersorok."
Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya ini, terbit satu idea produk baru untuk PTS, iaitu ‘Candy Books’.
Kumpulan sasaran:
1. Ulat buku yang sentiasa perlu bahan bacaan baru namun kadang-kala kekurangan wang.
2. Individu atau organisasi yang ingin memberi hadiah yang murah namun tinggi nilainya.
3. Kanak-kanak, remaja, wanita, lelaki yang meminati design yang comel dan cantik.
4. Individu yang tidak berminat dengan buku-buku yang tebal dan banyak teks.
Ciri-ciri fizikal produk:
1. Berharga kurang dari RM5 seunit.
2. Design kulit yang menarik dan meriangkan hati seperti melihat candy atau gula-gula. (Popular dapat menjual tisu poket yang berharga 30 sen dengan harga 80sen kerana design pembalut tisu itu comel.)
3. Bersaiz kecil muat dalam beg tangan, poket beg sekolah dan sampul duit raya.
4. Mempunyai raknya sendiri dan dipamerkan berhampiran atau atas kaunter cashier, menggunakan taktik supermarket menjual coklat dan gula-guna.
Elok juga dicipta satu logo khusus ‘Candy Books’ bagi diletakkan pada kulit buku kategori ini. Apabila pembeli Book Cafe melihat buku-buku ini di Internet, mereka terus kenal itu buku Candy Books lalu tahu saiz dan harga buku itu.
Ciri-ciri kandungan produk:
1.Mutiara kata dan kata-kata hikmah, contohnya oleh Lokman Hakim, Imam Ghazali.
2.Nasihat dan tips yang boleh dilakukan dengan mudah secara harian oleh pembaca sasaran. Contohnya sehari satu hadis, tips jimat masa, etc.
Design, tema dan isi buku boleh dipelbagaikan mengikut kumpulan pembaca, ie: kanak-kanak, remaja, wanita.
Nilai yang ditawarkan (value proposition):
Mampu beli, cantik, kecil namun bermakna.
Kelebihan produk:
1. Memberi pendapatan sampingan kepada pekedai buku, seperti gula-gula oleh pekedai mamak.
2. Memberi pendapatan sampingan kepada penulis dan penerbit.
3. Lebih mudah dan cepat diterbitkan berbanding buku yang mengambil masa bagi ditulis.
4. Memberi momentum kepada pelukis, peillustrasi dan penulis baru lebih rajin berkarya, selepas seronok melihat karya pertama mereka terbit dengan cepat.
4. Boleh dipromosi sebagai koleksi yang mesti dikumpul oleh pelajar sekolah atau sebagai diberi sebagai hadiah. Brand Ain Maisarah boleh memulakan siri produk ini.
4. Menawarkan harga mampu sebagai pemberian hadiah yang murah tetapi bermakna.
5. Boleh ditawarkan secara pukal kepada individu dengan diskaun sebagai angpow raya mampu beli pada musim perayaan Malaysia - Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan sebagainya.
6. Boleh dipakej kepada organisasi sebagai cenderahati kecil kepada pekerja dan pelanggan sempena upacara tertentu, i.e hari perayaan dan agama. Contohnya buku Amalan 24 Jam Dalam Kehidupan Rasulullah S.A.W boleh diberi oleh syarikat kepada kakitangan dan pelanggan sempena hari Maulidur Rasul.
Sekian.
Rihan Hashim

Comments

  1. saya suka entri ini. memang memotivasikan diri kita untuk menulis dan membaca

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu encik Faizal...nak menulis buku ni mesti perlukan semangat dan ketekunan yg tinggi kan

      Delete

Post a Comment

Popular Posts