Alam pun ingin berbicara

Saya selalu katakan ini. Bersahabatlah dengan alam. 

Tapi jadilah sahabat yang baik. Bukan sahabat yang mengambil kesempatan di atas kebaikan sahabatnya. Ataupun sahabat yang tidak jujur. Jadilah sahabat sejati kerana alam adalah sahabat yang sangat taat pada Pencipta.
Zikirnya sentiasa. Memandangnya adalah ketenangan. Memikirkannya akan terkenang kehebatan Pencipta. Bahasanya indah membawa pesanan daripada Yang Maha Berkuasa. Kadang-kala sepoi bahasa, kadang-kala seperti ribut taufan melanda.

Lumrah kita sebagai manusia memang selalu lupa. 

Kadang-kala terikut-ikut rasa tamak haloba. Mengorbankan alam atas alasan pembangunan. Tiada belas kasihan.

Selalu juga kita ikut rasa malas. Ingin mudah dan bersenang-lenang. Dengan selamba membuang sampah di mana-mana yang kita suka. Asalkan kita bahagia, persetankanlah apa orang nak kata. "Bukan ke ada tukang kutip sampah? Itukan kerja mereka!". Dengan angkuh melempar kata-kata hanya kerana kita kononnya orang bekerjaya dan berjaya. Kononnya itu bukan masalah kita. Tanpa kita sedar, itu adalah bahana tangan kita!

Bila alam mula berbicara. Kali ini suaranya lebih kuat dari biasa. Kerana bahasa-bahasa sepoi bahasanya kita ambil sambil lewa.
Bila suara alam mula bergema, kita pula jadi terpinga-pinga.

Rupanya alam menyambut bahasa kita. Bahasa kita yang kasar dan selamba.

Semoga kita sedar semuanya adalah bahana dari tangan kita!

credit to FB Al-Islah Perlis

Comments

  1. Saya setuju sangat. Sekarang ni bila saya lalu di MEX highway sakit sgt mata tgk bukit ditarah..dah langsung tak indah dipandangan

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts