nota iklan

Thursday, 19 May 2016

7 sebab mengapa kita suka bertangguh

Saya rasa semua orang tahu, jika kita ada keinginan ataupun ingin mencapai sesuatu matlamat dalam hidup, kita perlu bertindak. Malah kalau perut lapar tapi tak berusaha untuk makan, maka berlaparlah kita.

Makin cepat kita bertindak, makin cepat kita dapat apa yang kita nak. Tak gitu?

Tapi sedar atau tidak, kadang-kadang kita suka bertangguh. Orang lain mungkin tak pernah. Tapi saya pernah! Saya pernah bertangguh. Walaupun saya sedar ianya tidak membantu tetapi saya perlu ambil masa untuk bertangguh sebentar. Pelik tapi ianya berlaku. Sekurang-kurangnya untuk diri saya.

Dari segi psikologi rupanya ia mempunyai kaitan dengan bagaimana tanggungjawab seharian kita menyukarkan kita. Di tengah-tengah semua perkara yang penting yang kita tahu kita perlu lakukan, entah bagaimana kita meyakinkan diri kita bahawa tidak ada perkara yang perlu dilakukan sekarang. Dalam erti kata lain, kita telah buat keputusan bahawa sedikit rehat dan ketenangan adalah yang paling penting pada masa itu.  

Ambil sedikit masa untuk bertenang dan rileks. Apa salahnya. Masalah akan timbul bila kita terlalu bertangguh sehingga tiba tarikh akhir. Deadline! Yang kita rasa ketenangan tadi akan jadi panik. Masa panik! Bukankah orang kata, kesederhanaan itu penting dalam hidup. Jangan berlebihan bertangguh. Sekejap apa salahnya.

Tetapi apa sebenarnya yang menyebabkan kita bertangguh? Daripada segi psikologi ada beberapa penyumbang kepada sikap suka bertangguh ini. Bila kita tahu penyebab sesuatu perkara, maka akan jadi lebih mudah untuk kita mengelak atau mengawal sesuatu.

7 penyumbang utama sikap suka bertangguh :-

1. Risaukan hasilnya

Kadang-kadang kita takut kita akan gagal. Kajian psikologi juga menunjukkan ada orang yang tanpa sedar, takut untuk berjaya kerana takutkan perubahan disebabkan kejayaan itu. Pada masa yang lain, kita bimbangkan penolakan ataupun dilabel sebagai bodoh sekiranya usaha kita itu sukar diterima oleh pihak lain.

Mengikut pakar, cara terbaik untuk kita mengatasi segala rasa dan kebimbangan ini sehingga kita terjerumus kepada gejala suka bertangguh ialah dengan sedar bahawa kita sedang rasa takut atau bimbang. Kenal rasa takut dan bimbang itu. Berikan ucapan "Selamat datang Takut!". Kemudian bersedia untuk menanganinya. Lambat laun, insyaAllah rasa-rasa takut dan bimbang itupun segan untuk singgah!

2. Helplessness dalam menghadapi kerumitan

Bila kita mendapat satu tugasan atau tanggungjawab dan kemudian kita melihatnya sebagai sesuatu yang kompleks. Mungkin kerana kita kurang skill ataupun kurang pengalaman, lalu kita nampak ianya sebagai sukar. Cara terbaik pastinya untuk kita mengelakkan tugasan itu. Kalau dapat lari terus memang selamat. Kalau tidak, kita akan lari sebentar dengan bertangguh!

Untuk keadaan seperti ini, rahsianya ialah break it down. Pecahkan tugasan-tugasan yang kompleks itu menjadi lebih ringkas. Kenalpasti komponen yang penting dahulu dan kemudian tanganinya satu demi satu. Usah gelojoh dan  memaksa diri kita mengambil lebih daripada apa yang kita mampu. 

Fikirkan tentang kejayaan kita menangani masalah yang kompleks sebelum ini. Ianya boleh memberikan motivasi untuk kita menghadapi cabaran yang kita sedang hadapi.

3. Pemberontakan dan kemalasan

Kita mungkin membenci tugas yang diberikan kepada kita. Kita rasa dikenakan oleh orang lain "Awak perlu lakukan ini". Bagaimanapun, bila kita berfikir tentang diri kita sendiri, kita akan ucapkan  "Tetapi saya tidak perlu melakukannya sekarang."

Pemberontakan adalah berkaitan kawalan. Kita biasanya memberontak dengan memilih sama ada untuk melakukan tugasan tersebut ataupun dengan memilih bila kita akan melakukannya.

Mengikut pakar, kanak-kanak yang memberontak biasanya diberikan pilihan atau alternatif dan kemudian ditawarkan ganjaran. Contohnya, jika mereka memberontak untuk menyiapkan kerja sekolah. Untuk menghentikannya, mereka ditawarkan ganjaran untuk pergi ke tempat yang menarik sekiranya mereka telah menyiapkan semua kerja sekolah mereka.  Hasilnya, kanak-kanak tersebut akan bekerja dengan lebih produktif berbanding sebelum ini.

Oleh itu, apabila kita mendapati diri kita memberontak dan malas untuk melaksanakan sesuatu tugas, fikirkan cara untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri sekiranya kita menyiapkannya. Dan jangan lupa, ingatkan diri akibat daripada tidak melakukannya.

4. Kekurangan motivasi

Saya berlengah-lengah membuat taksiran cukai saya. Tetapi saya mula berfikir, "Saya menerima bayaran balik tahun ini". Apabila saya menumpukan perhatian kepada jumlah wang yang akan saya terima berbanding masa yang diambil untuk membuat taksiran cukai, ianya mendorong saya untuk memberikan tumpuan supaya menyelesaikannya secepat mungkin.

Jika kita tahu bahawa kerja yang kita perlu lakukan itu adalah penting tetapi tidak penting secara emosi kepada kita (emotionally important), cari jalan untuk menjadikannya penting. Contohnya, jika saya lambat membuat taksiran cukai, saya akan dikenakan penalti. Lebih baik saya tukarkan penalti kepada ganjaran yang bermanfaat untuk diri saya. 

5. Kurang tumpuan dan keletihan

Gangguan ada di mana-mana. Kita perlu belajar untuk mengabaikan gangguan.

Kita mungkin boleh mengurangkan gangguan dengan mengasingkan diri sendiri. Putuskan sambungan Internet dan matikan telefon bimbit jika perlu. Semak e-mel dan mel suara pada jangka masa yang ditetapkan dan bukannya secara rawak setiap beberapa minit. Mencari ruang yang tenang di mana kita boleh menumpukan perhatian kepada tugas di tangan. Dan hanya mengambil rehat sebagai ganjaran apabila telah selesai.

Juga, adalah sukar untuk memberi tumpuan sekiranya kita penat. Jadi dapatkan tidur yang cukup, makanan yang sihat dan bersenam secara teratur.

6. Tidak tahu di mana atau bagaimana untuk memulakan

Agaknya tugasan di hadapan kita itu kita nampak seperti satu batu atau blok besar, seperti bangunan yang tiada pintu. Kita berjalan sekeliling tetapi tidak nampak jalan masuk. Kalau begitu, bagaimana hendak masuk? Di mana boleh bermula? Kita tidak dapat mencari jalan penyelesaiannya,lantas kita ketepikan dahulu.

Bagi masalah seperti ini, kita perlu kenal pasti titik permulaan dan titik akhir atau matlamat. Apabila sesuatu mempunyai awal dan akhir, adalah lebih mudah untuk melihat di tengah-tengah. Jadi jangan berputus asa. Kenalpasti permulaan dan pengakhiran, baru boleh isi tempat kosong satu demi satu.

7. Kesempurnaan

Berlagak mahu semuanya sempurna atau perfectionist itu tidak semestinya sesuatu yang bagus ataupun penting.
credit to behappy.me
Kadang-kala kita bertangguh dengan alasan kita belum bersedia. Kadang-kala kita fikir kita akan dapat melaksanakan sesuatu dengan lebih baik bila kita cukup bersedia. 

Tetapi bukan ke selagi kita tak buat, selagi tu kita tak mahir? Selagi kita tak mencuba kita tak akan tahu setakat mana kemampuan kita. Selagi kita tidak buat silap kita tak akan belajar yang mana betul dan yang mana salah? Jadi bila agaknya kita akan mahir? Bukankah pengalaman itu adalah guru terbaik kehidupan?

Saya belajar memandu semasa cuti sekolah selepas tamat SPM. Dapat lesen tetapi mak saya tidak benarkan saya memandu. Kata mak "Nanti dah terer drive kereta baru boleh drive!" Rasa-rasanya bila saya akan jadi terer memandu?

Saya masuk matrikulasi, masuk Uni, kerja, kahwin, dapat anak. Selama masa itu saya cuma renew lesen memandu saya. Pegi keje naik bas turun bas. Sampai satu tahap saya perlu drive, saya kuatkan semangat saya. Bayangkan saya hanya dapat drive selepas 10 tahun! 10 tahun lepas dapat lesen barulah saya dapat memandu kereta sendiri.

Jadi pada hakikatnya, satu-satunya cara untuk membazirkan idea ataupun usaha yang bagus adalah dengan tidak melaksanakannya. 

Kesimpulan

Ambil masa dan inisiatif untuk memahami sebab-sebab kita bertangguh, dan ambil langkah yang perlu untuk bergerak ke hadapan. Kita boleh kalahkan penangguhan. Kita semua boleh.

Malah, untuk menulis entry ini pun saya bertangguh kerana kurang memberi tumpuan dan beberapa kali diganggu. Jadi saya berusaha menepis segala gangguan dan mula menulis. Dan seperti biasa, permulaan adalah bahagian yang paling sukar. Sekarang saya dah selesai. Selamat tinggal sikap bertangguh!

6 comments:

  1. antara salah satu kelemahan ana juga Linda, ada kalanya kerap bertangguh ni, semoga terus istiqomah untuk memperbaiki diri hari demi hari ,in shaa Allah

    ReplyDelete
    Replies
    1. InshaAllah Ana, moga kita istiqamah..ameen

      Delete
  2. Memang ramai antara kita suka bertangguh kerja.macam sy time student dulu assingment mesti buat last minute punya.hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe....nak jugak lastminute.com kann :)

      Delete
  3. Saya pun adakalanya suka bertangguh sebab memikirkan perkara itu tak begitu penting dan boleh ditangguhkan. Itu yang selalu jadi last minute. Kena berubahlah ya. Kalau tidak, banyak sebenarnya masa terbuang kalau kita asyik bertangguh aje.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pun sama MD...especially bila kebetulan masa tu memang kita betul2 rasa tak larat atau tak sihat..betul tak?...

      Delete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...