Kaitan mewarna dengan stress


Bila kita bercakap tentang mewarna, selalu kita kaitkan dengan kanak-kanak. Kanak-kanak mana yang tak gembira bila dapat sebuah buku mewarna dan sekotak pensel warna. Lebih banyak warna dalam kotak pensel warna tu, lagi happy rasanya. Start dengan 12 warna, kemudian 24 atau 36 pilihan warna. Seronok!

Bila meningkat dewasa, kita masih lagi membeli pensel warna. Tapi hanya untuk anak-anak. Ibu bapa tak mungkin ada lagi koleksi pensel warna kan, kecuali jika memang kerja sebagai pelukis agaknya.
Alat tulis kita berubah kepada pen dan mungkin highlighter. Saya paling suka pen banyak warna. Boleh beza-bezakan nota yang kita ambil mengikut warna. Yang berwarna merah mungkin lebih penting dan urgent.

Cuma lately saya perasan banyak buku-buku mewarna dewasa yang dijual. Yang nampak berbeza dengan buku kanak-kanak ialah dari segi lukisannya, boleh dikatakan lebih banyak lukisan abstrak dan agak banyak kawasan yang perlu diwarnakan.

Setakat ni saya tak pernah beli, terasa mana mungkin ada masa terluang untuk mewarna saja-saja.
Bagaimanapun melalui info-info yang saya baca, praktis mewarna bagi orang dewasa bagi menghilangkan stress sangat terkenal di negara-negara Eropah dan Amerika Utara.

Menurut pakar-pakar psikologi, aktiviti mewarna akan mengaktifkan beberapa bahagian otak kita. Ianya melibatkan logik dan kreativiti dan pada masa yang sama yang melibatkan bahagian cerebral cortex yang penting untuk penglihatan dan koordinasi pergerakan. Keadaan ini akan mengurangkan aktiviti di bahagian otak yang dinamakan amygdala, bahagian yang mengawal emosi.
Dengan kata lain, aktiviti ini memerlukan kita fokus kepada aktiviti mewarna daripada stress yang kita hadapi itu sendiri! Terbuai-buai diulit imaginasi dan mungkin kenangan zaman kanak-kanak. Ditambah pula dengan alunan muzik yang membuai jiwa, memang seronok, sekurang-kurangnya hilang sebentar perasaan tertekan, marah atau sedih. Moga lepas itu, tenang kembali dan dapat lebih idea bagi menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.

Baru-baru ini saya rasa sangat stress. Tak larat dah nak layan whatssapp pejabat yang tidak pernah berhenti. Kebas hujung-hujung jari. Terasa berat kepala. Bangun tidur waktu pagi masih tidak hilang sakit kepala saya. Berhari-hari begitu.

Buntu juga apa yang ingin dibuat. Dah berbiji-biji juga Panadol yang saya telan tetapi masih rasa berat kepala. Tiba-tiba rasa mungkin saya patut cuba mewarna, sekurang-kurangnya jari-jari saya berhenti daripada memegang telefon bimbit.

Mintak sehelai daripada buku mewarna anak saya. Pinjam pensel warna, diberinya saya pensel-pensel warna dia yang dah lama-lama, pensel warna kontot! Jadilah kan.

Belum siap sepenuhnya. Seronok juga, ralit mewarna. Semoga dapat dijadikan aktiviti berterusan untuk merehatkan minda.







Comments

  1. Ada buku mewarna dewasa ini.. tapi tak pernah cuba lagi mewarna, macam menarik..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah.. Saya pun belum beli, harga boleh tahan jugak. Takut dah beli nanti hangat2 tahi ayam hehehe :p

      Delete

Post a Comment