10 Perubahan Kecil Untuk Tahun 2021 Yang Lebih Bermakna
Terima kasih 2020. Di atas segala suka duka, penat lelah, tawa mahupun tangis. Sejarah tercipta. Langkah baru bermula. Sampai bila keadaan ini, tiada siapa yang tahu. Yang pastinya, pandemik ini di luar kawalan kita. Tak mampu menjangka mahupun meneka.
Apa yang di dalam kawalan kita adalah mengamalkan norma baru. Jaga jarak, pelitup muka dan amalkan kebersihan tangan. Pilihan bagaimana hendak beri reaksi kepada keadaan sekeliling ada di tangan kita.
Selamat datang tahun 2021. Mungkin boleh dipertimbangkan beberapa perubahan atau keputusan yang perlu diambil untuk tahun 2021 yang lebih bermakna.
1. Lebihkan senyuman. Dah lama senyuman-senyuman kita semua tertutup dek pelitup muka. Tetapi, teruskan tersenyum. Mungkin tak terlihat oleh mata tapi hati mampu merasa.
2. Kurangkan merungut terutamanya perkara yang remeh temeh atau tidak perlu diperbesar-besarkan. Pandemik ini mengajar kita bahawa ada perkara lebih penting perlu diberi perhatian. Dunia berdepan dengan isu hidup dan mati setiap hari.
3. Lebih menghargai. Boleh dikatakan setiap dari kita menyedari tentang wawasan 2020. Dunia menggambarkan pelbagai inovasi dan kejayaan. Rupanya 2020 mengajar kita menghargai apa yang kita telah ada. Bila yang dikejar tak dapat, yang dikendong dipegang erat supaya tidak keciciran.
4. Raikan perhubungan terutamanya dengan ahli keluarga terdekat dan orang-orang yang penting dalam hidup kita. Kita telah saksikan bagaimana kita tak mampu berjumpa dengan orang-orang tersayang pada tahun 2020. Yang jauh tak mampu bersua. Yang dekat juga mungkin terpisah kerana menjadi frontliners. Hargai sekiranya berpeluang.
5. Kurangkan barang-barang yang tidak perlu. Bila keadaan mendesak, kita akan mula menyedari apa yang sebenarnya lebih penting. Ada yang tidak betah tinggal lama-lama di rumah, mula berasa rimas bila tak dapat keluar cuti-cuti Malaysia ataupun keluar negara. Kenapa kita rasa seronok pergi bercuti dan tinggal di hotel? Kerana suasana yang tersusun dan jauh dari barang-barang peribadi yang kita tinggalkan di rumah. Mungkin boleh mula jadikan kebiasaan untuk hidup simple atau minimalis supaya bila di rumah, dapat fokus lebih pada aktiviti yang kita enjoy, bukan hanya sibuk dengan mengemas barang-barang.
6. Kurangkan membazir masa atau momen berharga. Kita tak pasti sama ada esok atau lusa kita masih ada kesempatan.
7. Zahirkan terima kasih. Ucapan yang nampak mudah tapi sangat berharga.
8. Raikan perbezaan sama ada perbezaan pendapat mahupun cara dan pilihan selagi tidak jelas salah. Setiap orang ada ceritanya tersendiri.
9. Lebihkan simpanan, sama ada wang atau dalam bentuk pelaburan yang lain seperti emas. Dalam keadaan pandemik sekarang, kita tak mampu menjangka cuaca ekonomi pada hari-hari mendatang.
10. Sebarkan kasih sayang. Dalam pelbagai bentuk. Terutamanya kepada orang-orang tersayang yang dekat dengan kita. Anak-anak yang selalunya bersekolah, sekarang lebih kerap di rumah. Mungkin juga ada pasangan yang masih bekerja dari rumah. Bila semuanya di depan mata dalam masa yang lama, kadang-kadang cepat naik darah. Mulalah rasa stress kerana tak dapat ke mana-mana. Adakah selama ini keluar bekerja adalah salah satu bentuk escapism dari rumah? Sebarkan juga kasih sayang pada alam sekitar. Cukup-cukuplah dunia yang dilanda pandemik dengan virus yang kita tak nampak dengan mata kasar. Usah dicemari lagi alam dengan sampah sarap. Ingat kembali masa awal-awal dilanda pandemik, banyak perkongsian tentang alam sekitar yang semakin cantik disebabkan tiada kedatangan pelancong. Bila lockdown tamat, tercemar semula dek kerana tangan-tangan manusia.
Bila agaknya pandemik ini akan berakhir? Belum ada jawapan yang pasti. Yang pastinya ada pengajaran dan tauladan yang perlu dikutip dari segala yang berlaku. Buat sedikit perubahan walaupun kecil mungkin boleh membantu. Biar kecil tapi signifikan.
Bagusnya buat perubahan kecil camni, tapi impaknya besar di kemudian hari.. kan.. Happy New Year ye...
ReplyDeletekannn...biar kecil tapi signifikan...insyaAllah
Delete