nota iklan

Tuesday, 20 September 2016

Mengatasi depresi dengan menulis

Menurut Laurie Nadel, seorang pakar psikoterapi yang dulunya adalah seorang wartawan politik, dia mengurangkan kebimbangan mencari dirinya sendiri  di dalam persekitaran yang tidak menentu dengan menulis; bukan sahaja untuk penerbitan, tetapi juga untuk dirinya. "Saya fikir jika saya boleh terus menulis, saya masih selamat”. Kemudian, melalui fasa di mana beliau didiagnos dengan penyakit, penceraian, dan beberapa siri peristiwa yang membuat kehidupan beliau kelihatan tidak tentu arah, Nadel sekali lagi menulis pemikiran dan kebimbangan beliau. Lima tahun selepas kejadian buruk ini berakhir, beliau membaca semula jurnalnya yang pernah ditulis sebelum ini. "Apabila membacanya semula, saya sedar bahawa saya telah melalui beberapa fasa kebimbangan" kata Nadel. "Jurnal ini menunjukkan kepada saya di mana saya telah bermula dan berapa banyak yang saya telah capai."

Rentetan daripada itu, Nadel, seorang penulis buku bertajuk Zen and the art of Windsurfing, kerap memberi cadangan kepada orang-orang di sekelilingnya supaya menyimpan jurnal diri mereka sendiri. Bagi orang-orang yang tertekan, sedang dalam krisis, atau merasa "terperangkap”, menulis journal adalah satu cara untuk mendapatkan maklumat tentang fikiran dan perasaan mereka.

Menulis jurnal membolehkan anda untuk berdialog dengan bahagian jiwa anda yang seolah-seolah beku pada masa tersebut (frozen in time). Ianya membolehkan anda memasuki fasa lebih mendalam tentang kreativiti dan penyelesaian masalah. Dengan mempunyai jurnal, anda boleh mendapatkan imbasan tentang pengetahuan dan kesedaran yang tidak pernah diketahui sebelum ini.

Menurut Kathleen Adams, pengasas dan pengarah The Center for Journal Therapy di Lakewood, Colorado, USA, melalui jurnal kita bukan sekadar merakam peristiwa-peristiwa harian dan kejadian, tetapi kita juga memberi tumpuan kepada reaksi dan persepsi kita ke atas peristiwa tersebut.

"Menulis jurnal sebenarnya memaksa seseorang untuk melakukan sesuatu," ujar Michael Rank, seorang profesor dan pengarah bersama Institut Traumatologi Antarabangsa di University of South Florida. Jessie Gruman, Pengarah Eksekutif Pusat Kemajuan Kesihatan di Washington turut bersetuju. "Mempunyai jurnal adalah salah satu cara yang baik untuk menghadapi kemurungan. Ianya adalah langkah bukan agresif yang kita boleh lakukan sendiri, dan ianya memberi peluang untuk melihat perasaan anda dalam bentuk hitam dan putih dan kemudian membuat rancangan untuk melakukan sesuatu tentangnya."

Walaupun menulis jurnal adalah satu perkara yang kelihatan mudah, realitinya ianya bukanlah sesuatu yang dipersetujui oleh kebanyakan orang. Ujar Rank, "Bagi kebanyakan orang, menulis adalah seperti kerja keras, terutamanya semasa mereka tertekan. Ianya adalah sesuatu yang menyakitkan untuk menulis tentang perasaan yang tidak baik."

Rank mendapati bahawa menulis jurnal adalah salah satu bentuk usaha bantu diri yang paling berkesan dan paling murah. "Jika anda melakukannya dengan bersungguh-sungguh, dan mampu mengatasi rintangan, anda akan menjadi individu yang lebih baik," katanya. Jika anda benar-benar tidak suka menulis, Rank mencadangkan agar kita merakamkan percakapan tentang pemikiran kita pada waktu tersebut. 

Journaling sebenarnya menyediakan cara untuk menukarkan pemikiran yang subjektif kepada fakta yang objektif di atas kertas supaya boleh dianalisis, ditukar, mahupun dimusnahkan. Menurut Rank, "Apabila pemikiran anda dizahirkan,  ianya bukan lagi misteri”.

Menyimpan jurnal juga memaksa diri kita untuk menjadi jujur. Pada satu ketika, sekiranya kita cuba berkongsi jurnal kita dengan seseorang, contohnya ahli terapi, rakan, atau ahli keluarga yang dipercayai, ketika itulah proses penyembuhan sebenar bermula. Dengan berkongsi pemikiran, kita menerima kenyataan bahawa tiada seorang pun daripada kita yang boleh melakukan sesuatu berseorangan. Terutamanya untuk menghadapi kemurungan dan trauma, kita perlukan sokongan orang lain.

Menurut James Pennebaker, profesor psikologi di University of Texas di Austin, menulis tentang pengalaman peribadi yang penting bukan sahaja baik untuk kesihatan mental, tetapi juga kesihatan fizikal. Pennebaker, pengarang buku Opening Up : The Healing Power of Expressing Emotions, telah dinobatkan sebagai "guru" confession research. Terdapat  banyak kajiannya yang menunjukkan bahawa menulis tentang pengalaman peribadi selama lebih kurang 20 minit pada satu-satu masa, sebanyak tiga atau empat hari, boleh menurunkan tekanan darah dengan ketara dan menyumbang kepada sistem imun yang lebih sihat.

Catherine Carlo, seorang pekerja sosial onkologi di Hospital Exeter UK, mengatakan bahawa journaling memberikan pesakit beliau peluang untuk memupuk (nurture) diri mereka sendiri. Walaupun mereka menulis di dalam kumpulan, mereka tidak perlu berkongsi penulisan mereka. Carlo berkata. "Sokongan dan galakan memberikan mereka keberanian untuk menulis tentang perasaan mereka."

Anda tidak memerlukan seorang pakar terapi atau kumpulan sokongan untuk menulis jurnal. Menurut Gruman, kita boleh melakukannya sendiri dengan menggunakan salah satu atau kedua-dua strategi ini:
Yang pertama, duduk di kerusi yang selesa, tarik nafas dalam-dalam, dan mula menulis. Pastikan anda menulis selama 20 minit tanpa henti. Lihat apa yang mampu diluahkan melalui penulisan. Tip yang kedua ialah dengan memberi tumpuan kepada masalah atau kebimbangan yang sering datang berulang kali ke fikiran anda. Tuliskan secara terperinci, apakah sebenarnya masalah yang membuat anda bimbang atau marah tersebut. Ramalkan tiga senario yang berbeza untuk apa yang mungkin berlaku seterusnya. Pilih satu senario terbaik dan mengapa? Apakah peranan anda agar setiap senario yang kita fikirkan itu berlalu? Cuba fikirkan dan bayangkan.

Sentiasa ingat bahawa bagaimana anda menulis adalah tidak penting. Anda tidak akan diberi markah. Ianya tidak perlu menjadi sempurna. Untuk membuat proses menulis menjadi lebih menarik, anda boleh membeli jurnal yang anda suka, mungkin bergambar, atau dengan muka surat pelbagai warna serta menggunakan pen atau pensel warna yang menarik.

Mulakan langkah pertama. Tidak perlu tunggu sempurna untuk bermula. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Selamat menulis!


(Rujukan : laman web WebMD di www.webmd.com)

10 comments:

  1. Dulu suka menulis sekarang banyak kekangan huwaaaaaa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pun selalu jugak byk kekangan... Jom kita terus mencuba... Terima kasih Farah sudi singgah

      Delete
  2. Tima kasih linda kongsi tips ini..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih juga ana sbb sudi baca ya :)

      Delete
  3. Menulis di blog je.. hehehe..
    Masa zaman sekolah, ada gak buat novel tapi tak ingat letak kat mana..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ye ke dear... Cuba cari balik.. Pastu htr kt penerbit. Bagus tu berbakat

      Delete
  4. Saya suka menulis. Merapu yang sebenarnya. Tapi tak tahulah, bila mula menulis, macam-macam idea (merapu) muncul dan dalam masa yang sama, kepala hilang serabutnya walaupun yang saya tuliskan tu penuh berserabut ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. MD mmg byk idea menulis MD... Bagus betul :D

      Delete
  5. Memang satu kepuasan bila dapat menulis....tp menulis yg santai santai le. Kalau menulis fakta ke rencana mau stress jugak tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kannn Hainom.... Klu menulis buku teks ke mesti makin stress hihi

      Delete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...