Pilihan vs Gangguan

Gangguan atau distraction dalam kehidupan mungkin bukanlah perkara baru. Namun yang pastinya ianya lebih significant atau ketara kepada generasi alaf baru ini. Internet, telefon bimbit, televisyen, dan kelajuan kemajuan teknologi dan aliran maklumat telah mencipta persekitaran di mana gangguan mengelilingi kita setiap saat sepanjang hari - dari saat kita bangun hingga saat kita menutup mata pada waktu malam. Betulkah begitu?

 Jika ditanya kepada diri saya sendiri, ya memang benar begitu. Tambahan lagi dengan kebiasaan arahan kerja dan seribu satu persoalan dan maklumat yang tak henti-henti disampaikan melalui entah berapa banyak group menggunakan aplikasi whatsapp mahupun telegram. Dan mungkin ada lagi pelbagai aplikasi lain yang lebih canggih yang saya tidak tahu. 

Gangguan atau distraction boleh merujuk kepada apa sahaja yang boleh mengambil alih perhatian dan tenaga kita dari perkara yang penting. Biasanya ianya berlarutan bagi jangka masa panjang. Contoh lain ialah permainan video, rancangan televisyen, games dan mungkin info atau maklumat remeh temeh ataupun kurang tepat yang begitu cepat menjadi tular atau viral.

 Tuntutan seharian pula, dalam konteks yang betul adalah sesuatu yang normal dan perlu tetapi boleh menjadi gangguan sekiranya berlebihan. Contohnya, menjawab emel berkaitan kerja adalah penting, tetapi boleh menjadi tidak sihat dan dianggap gangguan jika ianya sudah mula mengambil masa kita bersama keluarga. Masa yang dihabiskan di media sosial pula boleh menjadi peluang untuk berhubung dengan rakan-rakan dan mungkin keluarga yang berjauhan dan lama tidak berjumpa, tetapi boleh menjadi tidak sihat jika kita terlalu banyak menghabiskan masa untuk media sosial.

Sebenarnya, sedikit sebanyak kita pasti akan terdedah kepada pelbagai gangguan atau distraction ini. Ianya boleh dianggap normal pada zaman teknologi maklumat kini. Kita seronok menikmati permainan baru, rancangan televisyen baru, hobi baru, laman web baru, peluang baru atau idea baru. Malah boleh dikatakan jika kita langsung tidak terdedah atau tidak biasa dengan kemudahan maklumat di hujung jari yang telah menjadi kebiasaan sekarang, kita adalah orang yang ketinggalan zaman. Namun akhirnya, tanpa kita sedari gangguan atau distraction ini telah menjadi cara hidup. Lifestyle masakini.

Kita mula “mencuri” beberapa minit tambahan di sana sini untuk menikmati lifestyle baru ini. Tetapi bilangan jam dalam sehari tidak pernah berubah. Jadi akhirnya, kita mula mengorbankan perkara-perkara yang penting sebelum ini untuk memberi laluan kepada gangguan ataupun distraction ini yang telah menjadi cara hidup.

Apa yang kita inginkan dalam hidup? Apakah fokus dan matlamat atau impian yang kita ingin capai? Hanya kita yang mampu memilih dan menentukannya. 
Cara hidup kita adalah pilihan kita.

“Distractions are part of the journey in Pursuit of your Purpose, manage it without compromising your focus on your dreams.” - Oscar Bimpong


Comments

Post a Comment