M.I.N.I.M.A.L.I.S

Salah satu perkara yang paling seronok tentang hidup minimalis adalah kelegaan yang datang bersama kebebasan. Bukan setakat jimat duit, tapi lebih dari itu - ia jimatkan tenaga dan minda daripada serabut fikirkan cara nak simpan, jaga, baiki, bersihkan dan akhirnya buang barang-barang yang kita kumpul bertahun-tahun. Bagi saya sendiri, setiap kali terfikir tentang macamana nak  uruskan semua barang fizikal ni, terus rasa sesak. Mungkin korang pun pernah rasa benda yang sama, kan?

Bila kita cakap tentang kebebasan kewangan, ramai orang bayangkan jawapannya adalah dengan cari duit banyak-banyak. Tapi realitinya, tanpa disiplin dalam berbelanja, duit lebih yang kita kumpul tu akan habis pada benda-benda yang kita sendiri tak perasan. Hidup minimalis sebenarnya bukan sekadar gaya hidup; ia satu perjalanan panjang, macam lari marathon. Kalau kita ingat kita boleh capai hidup minimalis dengan satu pecutan - dengan terus membuang semua benda sekaligus - itu namanya cari pasal.

Teringat seorang kawan yang sedang berusaha bebas dari hutang. Kaunselor dia bagi nasihat yang nampak pelik pada awalnya -  bayar hutang paling kecil dahulu, bukan hutang dengan faedah paling tinggi. Mula-mula rasa pelik jugak, tapi bila difikirkan, ia masuk akal. Bila kita dapat settle hutang paling kecil dahulu, kita rasa dah menang - satu komitmen bulanan dah lepas. Walaupun beban tu bukan yang paling besar, tapi rasa menang tu penting. Ia jadi pemangkin untuk capai lebih banyak kemenangan. Dari situ, saya buat keputusan untuk mulakan marathon hidup minimalis ni. Mulakan dengan ruang-ruang kecil yang senang nak urus dan selesai untuk rasa 'menang'. Walaupun jauh lagi marathon ni, diharap setiap kemenangan kecil akan jadi batu loncatan untuk terus mara dan bertahan sampai ke garis penamat.

Comments

Post a Comment