Terima Seadanya
Hujan turun lebat pagi itu, mengaburkan pandangan luar tingkap sebuah bilik kecil di Iwaki. Kau dah rancang nak keluar jalan-jalan, mungkin mendaki bukit atau sekadar melepak di luar menikmati pemandangan. Tapi sekarang, semua rancangan tu macam hanyut dibawa arus hujan yang tak nampak tanda nak berhenti.
Kau tengok jam. Pukul 9 pagi. Masih awal, tapi hujan masih tak ada tanda-tanda nak reda. Kau menghela nafas panjang, letak semula beg kat lantai. Dalam hati rasa sedikit kecewa. Mungkin juga terkilan. Hmmm teringat ungkapan Jepun "shikata ga nai" - "tak boleh buat apa, terima je". Bukan pasrah tanpa usaha tapi reda kerana hakikatnya, ada benda yang memang di luar kawalan kita.
Kau duduk tepi tingkap, tengok titisan hujan jatuh satu-satu pada tingkap kaca. Sejuk, tenang. Hujan, bagi kau, selalu ada aura yang buat hati rasa damai. Kau renung jauh-jauh, biarkan fikiran melayang jauh. Dalam hidup, banyak benda yang kita tak boleh kawal. Tak kisah betapa kita berharap, kadang-kadang apa yang berlaku memang tak ikut kehendak kita.
Tapi dari situ jugaklah kau belajar satu benda - yang penting bukan apa yang berlaku, tapi bagaimana kau hadapi. Tak semua benda kena ikut rancangan asal. Hujan mungkin dianggap gangguan pada mulanya, tapi akhirnya ia boleh menjadi peluang untuk berehat dan sekadar nikmati masa yang ada.
Shikata ga nai - terima, dan teruskan. Hujan masih turun, tapi dalam hati, kau dah rasa lebih tenang. Akhirnya kau decide nak bancuh secawan kopi panas. Bau kopi mula memenuhi ruang, memberi sedikit rasa selesa. Kau sambung duduk di tepi tingkap sambil menghirup kopi, setiap teguk menghangatkan badan.
Buku nota yang kau selalu bawa ke mana-mana tu terbiar atas meja. Asalnya nak tulis lepas jalan-jalan, tapi nampaknya hari ni lain sikit. Kau capai pen, buka halaman baru dan mula menulis apa yang terlintas dalam kepala.
Hidup ni kan, banyak kali juga kau rasa macam tak puas hati bila benda tak ikut plan. Tapi sekarang kau mula faham yang kita tak boleh kawal semua benda. Yang penting cara kita respons. Perkara di luar kawalan, terima dengan tenang dan move on.
Di luar, kelihatan hujan mula reda. Suara titisan hujan makin perlahan. Kau pandang luar tingkap. Dalam diam ada rasa damai. Perkara yang kita anggap halangan tu mungkin boleh jadi peluang untuk kita berhenti sejenak, fikir balik dan hargai apa yang ada di depan mata.
Kau habiskan kopi, tutup buku nota dan bangun. Mungkin hari ini bukan tentang mendaki bukit atau explore pemandangan luar, tapi untuk duduk diam dan refleksi diri. Dan kau rasa, itu pun satu pencapaian yang berbaloi.
Shikata ga nai - kau bisik dalam hati. Hidup ni, selagi kau boleh terima dan teruskan, semua akan okay. Insya-Allah.
Comments
Post a Comment